Bersatu terus bergolak, giliran Ketua Bahagian Puchong dipecat

Bersatu terus bergolak, giliran Ketua Bahagian Puchong dipecat

MASALAH dalaman parti Bersatu terus meruncing apabila Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor Mustaffa pula dipecat, hari ini.

Dalam satu notis bertarikh 17 November 2025, yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Lembaga Disiplin pada 6 November 2025.

Pemecatan ini menjadikan jumlah ketua-ketua bahagian Bersatu yang dipecat ketika ini seramai enam orang.

Berdasarkan surat pemecatan, Mohd Shukor dipecat daripada semua hak keahlian parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.

Beliau didakwa melakukan pelanggaran terhadap Fasal 9.1.4, satu kesalahan disiplin yang membawa kepada pemecatan serta-merta.

Notis itu turut menegaskan bahawa keputusan berkuat kuasa sebaik sahaja surat dikeluarkan.

Namun begitu, Mohd Shukor diberikan peluang mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis tersebut.

Bulan lalu, Ketua Bahagian Bangi, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta empat lagi ketua bahagian Bersatu turut dipecat termasuk Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar ( Pengerang), Mohd Fadhli Ismail  Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi  Ampang)

Ahli Parlimen Machang, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula digantung keahlian selama sepanggal.