Malaysian News

Pukul pelajar hingga pengsan, 5 pelajar dibuang sekolah

LIMA pelajar sebuah sekolah menengah di Sungai Petani dibuang manakala tiga lagi digantung selepas didapati terbabit dalam insiden pergaduhan, Isnin lalu.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil serius insiden pergaduhan itu yang membabitkan sekumpulan pelajar.

Jelasnya, pihak sekolah juga sudah selesai menjalankan siasatan dalaman yang dilakukan secara menyeluruh.

“Hukuman tegas gantung dan buang sekolah sudah diambil ke atas pelajar yang bersalah semalam.

“JPN Kedah menegaskan tiada kompromi terhadap isu buli, keganasan dan salah laku pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, JPN turut menasihatkan semua institusi pendidikan di negeri ini diminta mematuhi prosedur pengurusan disiplin semasa, mengutamakan keselamatan murid dan melaksanakan intervensi pencegahan bagi memastikan kesejahteraan seluruh warga pendidikan terpelihara.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan empat pelajar untuk membantu siasatan berhubung kejadian seorang pelajar lelaki dipukul hingga pengsan.

Mangsa kemudian ditemui di dalam tandas asrama sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, ibu mangsa menerima panggilan daripada guru sekolah itu Isnin lalu pada jam 9.05 pagi memaklumkan anaknya ditemui pengsan dalam tandas.

Beliau berkata, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

Back to top button