Madani News

Ribut Tropika Senyar semakin lemah, hujan masih berterusan

PERKEMBANGAN terbaharu Ribut Tropika Senyar berada dalam situasi melemah dan statusnya diturunkan taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ribut itu kini berada di tengah Semenanjung Malaysia dan diramal akan terus bergerak ke arah timur menuju ke perairan Laut China Selatan.

“Berdasarkan pencerapan radar cuaca MetMalaysia, Senyar telah mendarat sekitar tengah malam tadi di kawasan pantai antara sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan.

“Walaupun sistem cuaca tersebut semakin melemah, aktiviti pembentukan awan hujan masih kekal aktif,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Hisham berkata, keaadan itu berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di beberapa kawasan terutama di Pahang dan Terengganu.

“Corak cuaca ini dijangka berterusan sehingga esok. Kita akan terus memantau mengemaskini maklumat serta amaran cuaca sekiranya terdapat perubahan ketara,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap maklumat terkini.

“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia,” katanya.

Senyar ialah ribut tropika ketiga yang melanda Malaysia dan yang pertama terbentuk secara langsung di Selat Melaka.

Semalam, MetMalaysia menyifatkan pembentukan Senyar sebagai sangat luar biasa memandangkan Malaysia lazimnya berada di luar laluan taufan tropika

Back to top button