Malaysian News

PRN Sabah: Semua calon DAP tewas

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menyaksikan DAP melakar sejarah hitam apabila kesemua lapan calon yang dipertaruhkan kecundang di kerusi yang ditandingi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan teruk parti itu sejak PRN Sabah 2004.

Loke berkata, DAP menghormati keputusan pengundi di lapan kerusi tersebut.

“Sebagai Setiausaha Agung parti, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap segala kelemahan dan kegagalan DAP memenangi sebarang kerusi dalam PRN kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pengerusi DAP Sabah yang juga bekas Adun Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe tewas dalam persaingan kali ini.

Jin Zhe kali ini meninggalkan DUN Luyang untuk bertanding di kerusi Likas.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin tewas DUN Tanjung Aru.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong pula tewas di DUN Elopura.

Selain itu DAP turut bertanding di DUN Sri Tanjung diwakili Ketua DAPSY Tawau, Philip Yap Wui Lip; DUN Luyang diwakili oleh Setiausaha Eksekutif DAPSY Sabah, Chan Loong Wei.

DUN Kapayan dikekalkan kepada Jannie Lasimbang, DUN Tanjung Papat diwakili Tang Szu Ching.

Sementara Kemabong ditandingi bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual.

Back to top button