Madani News

BN sedia jalin kerjasama bentuk kerajaan baharu Sabah

BARISAN Nasional (BN) membuka ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana parti sehaluan bagi membentuk kerajaan baharu demi politik Sabah yang stabil.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selepas keputusan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah, BN mengambil langkah itu yang selari dengan komitmen BN yang mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Sebagai sebuah parti yang sentiasa memberikan keutamaan kepada soal kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, BN bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan bagi membentuk sebuah kerajaan baharu untuk kestabilan politik Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan media.

Zahid menjelaskan, keputusan PRN Sabah yang menyaksikan 596 calon bertanding menggambarkan kesuburan demokrasi di Sabah, selain menunjukkan BN masih mempunyai asas sokongan teguh dalam kalangan pengundi.

BN turut menyeru rakyat Sabah mengekalkan keamanan, perpaduan serta rasa hormat terhadap proses demokrasi yang sedang berlangsung, sambil menegaskan komitmen parti untuk terus memainkan peranan konstruktif demi kemajuan negeri.

“Perjalanan Negeri Sabah ke hadapan memerlukan iltizam semua pihak dan BN akan terus memainkan peranan bagi memastikan negeri ini terus melangkah ke arah kemajuan dan kemakmuran,” katanya.

Back to top button