Madani News

Tiada masalah jika UEC memenuhi aspirasi nasional – Mohamad

KERAJAAN tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekiranya sistem itu digubal selaras dengan aspirasi nasional dan dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isu sebenar bukan pelaksanaan UEC, sebaliknya soal pengiktirafan kerana kerajaan sebagai sebuah negara berdaulat perlu memastikan setiap sistem pendidikan menepati misi, nilai serta kepentingan nasional.

Mohamad menjelaskan, kerajaan tidak pernah menghalang Dong Zong daripada melaksanakan UEC sejak tahun 1975 dan sijil itu tidak pernah berdepan sebarang masalah daripada sudut pelaksanaan.

“Kerajaan tidak ada masalah untuk mengiktiraf jika ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan dan digubal menepati aspirasi nasional.

Selagi ia tidak menepati ciri tersebut, maka ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional,” katanya di Facebook.

Mohamad yang juga Menteri Luar menegaskan, sistem pendidikan negara mesti dibina bagi memperkukuh identiti kebangsaan, namun dalam masa sama kerajaan tetap meraikan kepelbagaian kaum dengan tidak menyekat kewujudan sistem pendidikan lain seperti UEC.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC.

Tindakan itu mencetuskan reaksi Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh yang menempelak DAP sambil menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi berhubung perkara tersebut dan merayu agar Perdana Menteri tidak memenuhi tuntutan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan pendidikan kerana ia merupakan wadah penting untuk membentuk identiti nasional serta memupuk kerjasama antara pelajar pelbagai kaum.

“Jika ada rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional, mereka mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem UEC. Itu tiada siapa menghalang. Tetapi janganlah kerajaan dipaksa untuk mengiktiraf dan menyamaratakan kelayakan tersebut kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional,” katanya.

Back to top button