
Naim tiada hasrat ganti bapa di DUN Lamag
ANAK kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Naim Kurniawan tidak berhasrat untuk bertanding di DUN Lamag bagi menggantikan bapanya.
Naim berkata, beliau menyerahkan soal calon yang akan bertanding dalam PRK DUN Lamag kepada pucuk pimpinan parti itu.
Naim berkata beliau sedar sentimen kuat mahukannya menggantikan Bung Moktar di kerusi itu, namun berpendapat adalah lebih baik anak tempatan bertanding di Lamag.
“DUN Lamag bukan sekadar kawasan baharu. Ia adalah tanah perjuangan yang dibina dengan keringat dan maruah rakyatnya. Sejak diwujudkan pada 2020, suara Lamag mesti terus berkumandang dengan penuh harga diri.
“Saya hargai sokongan yang mahu saya sendiri bertanding, namun calon adalah keputusan parti dan bukanlah keputusan peribadi semata-mata. Selaku ahli yang setia, saya menghormati sepenuhnya apa sahaja keputusan itu.
“Sejujurnya secara peribadi saya tidak berniat untuk bertanding di sini. Lamag harus dikembalikan kepada anak jati Lamag untuk diteruskan perjuangannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di Kota Kinabalu Jumaat lalu.
Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Lamag yang telah menerima Allahyarham Ayahanda saya sebagai pejuang mereka.
“Tanggungjawab saya selaku pengarah (pilihan raya) belum selesai, kerusi Lamag perlu saya kekalkan milik BN.
*Parti perlu segera tampilkan pengganti yang layak dan berjiwa rakyat. Sebagai cadangan saya menggariskan beberapa kriteria calon yang tidak boleh dikompromi,” katanya lagi.
Tegas Naim, calon yang akan dipertandingkan perlulah anak jati Lamag yang lahir, membesar serta menetap di kawasan itu dan berusia 50 tahun ke bawah.


