Madani News

UEC: Anwar tidak akan tunduk desakan DAP

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan yang beliau tidak akan tunduk kepada tuntutan DAP supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Anwar turut membidas tuntutan DAP itu yang hanya menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa sahaja.

Oleh itu, beliau tidak akan bersetuju mahupun melayan tuntutan yang melanggar prinsip kerajaan dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tak peduli siapa dia, parti mana, pengaruh mana. Kalau saya mahu didukung sebagai Perdana Menteri, saya mesti pertahankan prinsip perlembagaan.

“Apa yang berbeza? Perbezaannya ialah tuntutan itu, tuntutan yang menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa. Itu saya tidak setuju sama sekali.

“Bawa dulu mesej pertahankan martabat bahasa kebangsaan. Kemudian rangkul sekali keperluan penguasaan bahasa lain. Itu kita boleh terima,” katanya kepada media di Langkawi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang berkata parti itu akan berjumpa dengan Perdana Menteri bagi meminta kerajaan mengiktiraf UEC.

Kor Ming juga mengulang pendirian DAP dalam usaha tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan jangan khuatir.

Kelmarin, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh merayu Perdana Menteri supaya tidak mengiktiraf UEC seperti mana tuntutan pemimpin DAP.

“Kepada PMX saya rayulah sangat-sangat janganlah kita mengiktiraf UEC ini, kerana apa? Selagi mana UEC ini tidak menepati dasar pendidikan negara selagi itu lah kita tak boleh iktiraf UEC,” katanya.

Back to top button