Madani News

AS langgar undang-undang antarabangsa tangkap Maduro, isteri – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap situasi di Venezuela selepas Presiden Nicolas Maduro dan isterinya ditangkap dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Perdana Menteri, tindakan tersebut merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan dikategorikan sebagai penggunaan kekerasan yang tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat.

Tegasnya, Presiden Maduro dan isterinya perlu dibebaskan tanpa sebarang kelewatan.

“Apapun alasannya, penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memerintah oleh tindakan luar negara menetapkan preseden berbahaya. Ia melemahkan batasan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara dan menggugat kerangka undang-undang yang menyokong keamanan antarabangsa,” katanya di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri menegaskan bahawa rakyat Venezuela berhak menentukan masa depan politik mereka sendiri.

Jelasnya, sejarah menunjukkan perubahan kepimpinan secara tiba-tiba melalui campur tangan luar hanya membawa lebih banyak kemudaratan, terutamanya dalam negara yang sedang bergelut dengan kesusahan ekonomi dan ketegangan sosial yang mendalam.

Malaysia, kata Anwar, menekankan kepentingan menghormati undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara sebagai asas hubungan aman antara negara.

Beliau juga menyeru pendekatan melalui dialog, penglibatan konstruktif sebagai jalan berkesan untuk melindungi rakyat dan membolehkan warga Venezuela mengejar aspirasi mereka tanpa mudarat.

Back to top button