Madani News

Kerajaan akan bentang RUU had tempoh PM selama dua penggal- Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri akan dibentang pada sidang Parlimen yang akan bermula tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, RUU itu akan mengehadkan tempoh seseorang itu menjadi perdana menteri selama dua penggal ataupun 10 tahun sahaja.

Beliau berkata, langkah itu sebagai langkah reformasi yang dilaksanakan kerajaan Madani di bawah kepimpinannya.

“Semua orang ada had tempohnya… KSN (ketua setiausaha negara) tidak boleh sampai puluh tahun, juga terpakai untuk semua kerana kalau diberikan tempoh dan dalam tempoh itu mampu melaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya.

“Ini juga terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri, maka kita akan membentangkan RUU mengehadkan tempoh bagi jawatan perdana menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Selain itu katanya, RUU lain akan turut dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini termasuk pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, Ombudsman dan akta kebebasan maklumat.

Anwar pada Mac 2025 menegaskan kerajaan memegang janji melaksana agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.

Beliau dipetik berkata proses itu perlu dilaksana dengan rapi dan memerlukan konsensus semua parti serta sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Back to top button