Malaysian News

Anjur Konvensyen Pemuda: Akmal langgar syarat ditetapkan parti?

DUA syarat dikenakan oleh UMNO kepada Datuk Dr Akmal Saleh untuk menganjurkan Konvensyen Pemuda UMNO pada Sabtu lalu, kata seorang pemimpin parti itu.

Enggan namanya didedahkan, beliau berkata, syarat pertama ialah untuk tidak membincangkan soal penarikan diri daripada Kerajaan Perpaduan manakala syarat kedua pula adalah agar tiada sebarang kritikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber itu memetik laporan FMT menjelaskan, hanya berdasarkan jaminan itu  Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk membenarkan program itu diadakan..

Menurut sumber itu, perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Akmal dalam konvensyen Pemuda UMNO seperti UMNO keluar daripada kerajaan, bekerjasama semula dengan PAS atau menukar haluan politik, tidak pernah dibincangkan dengan Zahid.

“Beliau (Zahid) tidak menyokong, meluluskan atau bahkan mempertimbangkan idea-idea tersebut,” kata sumber itu, sambil menambah bahawa Zahid juga tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau petunjuk kepada sayap Pemuda untuk membahaskan isu keluar dari kerajaan.

Ketika merasmikan konvensyen tersebut, Akmal mendakwa bahawa perhimpunan itu telah diluluskan oleh Zahid. Beliau juga mendakwa Zahid memberitahunya bahawa beliau akan menyokong desakan akar umbi untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Akmal berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan bahawa beliau tidak mendapat restu Zahid untuk menganjurkan konvensyen tersebut, dan kononnya tindakannya bercanggah dengan kepimpinan parti.

“Saya nak jelaskan,  Zahid adalah orang pertama yang bersetuju dengan konvensyen ini. Saya beritahu beliau, kalau kita ‘tarik brek tangan’ dan keluar dari kerajaan hari ini, beliau yang akan jadi sasaran utama.

“Tapi Zahid kata, kalau itu kehendak akar umbi, beliau sedia berjuang habis-habisan,” kata Akmal ketika berucap pada konvensyen itu.

Back to top button