Madani News

‘Puting beliung’ tidak membadai keseluruhan MINDEF- Anwar

“SKANDAL perolehan” yang terpalit dengan Angkatan Pertahanan Malaysia (ATM) bukan “puting beliung” melanda keseluruhan Kementerian Pertahanan (MINDEF), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya Perdana Menteri tetap menaruh keyakinan kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam memimpin kementerian itu.

Beliau berharap ‘puting beliung’ yang membadai ATM ketika ini segera reda dan yakin kepimpinan baharu kelak mampu menerajui angkatan pertahanan negara dengan cemerlang.

“Ini suatu perkembangan yang mengejutkan bukan sahaja negara tetapi dunia kita baru lagi juga bicara soal skandal kewangan dan sekarang masih dengan isu rasuah dan penyelewengan dana.

“Tentunya seperti mana yang juga disentuh sebelum ini oleh Menteri Pertahanan, ia tidak harus mewakili seluruh anggota sama ada di MINDEF dan dalam negeri serta agensi penguatkuasaan.

“Mudah-mudahan episod gelap dan malap yang diungkapkan sebagai ‘puting beliung’ walaupun puting beliung jarang berlaku di Malaysia, tidak memberikan gambaran negatif,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), di Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, semalam.

Anwar berkata, tabiat buruk itu yang dahulunya sering dikaitkan dengan ahli politik kini menular dalam kalangan penjawat awam termasuk angkatan bersenjata.

“Dengan kepentingan-kepentingan peribadi mana mungkin kita tetapkan suatu dasar pertama perolehan senjata terbaik kalau kita masih diheret dengan kepentingan peribadi, dengan komisyen.

“Saya menaruh keyakinan dan saya terima kasih khusus kepada Datuk Seri Khaled Nordin yang mengemudi dengan penuh rasa tanggung jawab dan tidak defensif mahu membersihkan (MINDEF),” katanya

Back to top button