KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sesi libat urus sudah dibuat sebelum kerajaan mengumumkan kemasukan murid ke Tahun 1 pada usia enam tahun.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia juga bukan bertujuan menjadikan mereka sebagai ‘tikus makmal’, lapor Harian Metro
Beliau berkata, sebaliknya, dasar berkenaan sudah dibincang dan dibahaskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Soal libat urus itu semua sudah berlaku. Contohnya dalam Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara, kita ada portal cadangan pendidikan masa hadapan.
“Pelbagai sesi libat urus di peringkat akar umbi yang menjurus kepada isu pendidikan awal ini (juga dijalankan) dan penekanan kepada apa yang kita hasrat,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang bertanyakan mengenai adakah kemasukan murid ke Tahun 1 pada usia enam tahun sudah dibuat sesi libat urus seperti membabitkan guru dan mengapa dasar berkenaan tidak dibuat percubaan terlebih dahulu.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM tidak berhasrat mahu menjadikan dasar berkenaan sebagai projek rintis dan disebabkan itu, kerajaan mengumumkan ia dilaksanakan secara berfasa, sukarela dan harus berlaku dengan sokongan diagnostik.
“Mekanismenya mesti melalui proses diagnostik dan ada sokongan emosi psikososial. Disebabkan itu, kita tidak akan tinggalkan anak-anak ini begitu sahaja.
“Ia mesti disokong oleh ujian diagnostik itu, kemudian mesti ada sokongan psikososial kepada kanak-kanak ini kerana ini adalah satu keadaan yang baru untuk mereka.
“Saya tidak fikir apa yang kita hasratkan ini tergesa-gesa ataupun kita tidak melibatkan semua pihak.
“Yang kita hasratkan ketika ini adalah memastikan hak kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.



