KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) bagi murid Tahun Empat dan Tingkatan Tiga adalah langkah proaktif bagi memperkukuh kualiti pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu adalah instrumen pentaksiran yang bertujuan menilai tahap pencapaian murid secara menyeluruh, sekali gus menyokong agenda besar Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Menurutnya, Matriks Pembelajaran Tahun Empat ialah pentaksiran bertujuan menilai pencapaian murid dari segi literasi, numerasi dan kemahiran asas saintifik.
“Data daripada pentaksiran ini amat penting bagi membolehkan pihak kementerian merangka program intervensi yang tepat bagi murid terbabit dengan mengenal pasti kelemahan lebih awal pada Tahun Empat, ruang intervensi dapat dilaksanakan segera ketika murid di Tahun Lima dan Enam.
“Ia juga membantu persediaan mereka sebelum melangkah ke sekolah menengah dan mendepani pentaksiran antarabangsa seperti Matrik Pembelajaran Murid Sekolah Rendah Asia Tenggara (SEA-PLM), Kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) serta Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).
“Bagi peringkat Tingkatan Tiga pula, MPM akan dilaksanakan mulai 2027 dengan penekanan kepada aspek kemahiran bahasa, pengetahuan, aplikasi, penaakulan dan kemahiran proses saintifik,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Keputusan bagi peringkat ini bakal menjadi elemen yang diambil kira dalam penentuan pakej mata pelajaran apabila murid memasuki Tingkatan Empat, sama ada aliran akademik mahupun kemahiran.
Mata pelajaran yang terbabit pada peringkat ini merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, MPM Tahun Empat dan Tingkatan Tiga dilaksanakan secara berpusat, namun bukan sistem peperiksaan berisiko tinggi.
“Justeru, pelaksanaannya tidak memberi tekanan, sebaliknya membuka peluang untuk mengenal pasti ruang tambah baik bagi meningkatkan pencapaian murid,” katanya.
Dalam infografik yang dikongsi Fadhlina di hantaran sama, KPM menjelaskan MPM Tahun Empat dan Tingkatan Tiga akan dilaksanakan sebelum berakhirnya sesi persekolahan tahun semasa.



