Segerakan bantuan 106 keluarga miskin tegar di Bentong – PM

Segerakan bantuan 106 keluarga miskin tegar di Bentong – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan bantuan segera diberikan kepada 106 keluarga miskin tegar di Bentong, Pahang.

Terdahulu, Anwar melakukan lawatan kerja sehari di Pahang dengan agenda pertama menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri di Pejabat Daerah dan Tanah.

Dalam lawatan itu Anwar, berkata beliau memberi tempoh sebulan untuk keluarga berkenaan dikeluarkan dari kepompong miskin tegar.

“Saya dimaklumkan bahawa ketika ini terdapat sekitar 106 keluarga miskin tegar di Bentong.

“Saya mengarahkan supaya bantuan disegerakan dan keluarga-keluarga ini mesti dikeluarkan daripada kepompong miskin tegar dalam tempoh satu bulan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Anwar berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kerajaan MADANI meluluskan 563 projek berkepentingan rakyat bernilai RM32 bilion di Pahang, termasuk 34 projek bernilai RM1.66 bilion khusus untuk Bentong.

“Namun angka ini tidak bermakna jika pelaksanaannya gagal menyentuh realiti hidup rakyat.

“Kerana itu keutamaan kita tahun ini adalah memastikan setiap projek dilaksanakan segera, berintegriti dan benar-benar memberi kesan kepada keluarga, peniaga kecil serta komuniti setempat,” katanya.

Sebarang projek tertangguh akibat kelemahan pengurusan atau permasalahan kontraktor tidak boleh dibiarkan berlarutan hingga bertahun-tahun.

Sehubungan itu, katanya, semua peringkat wajib memantau kemajuan projek secara dekat.

“Ini kerana setiap kelewatan bererti rakyat terus dinafikan kemudahan dan perkhidmatan yang sepatutnya mereka nikmati.

“Tahun ini misalnya, kita akan menambah bilik darjah dan meningkatkan keselesaan bilik guru menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, termasuk pelaksanaan kemasukan prasekolah pada usia 5 tahun dan Tahun Satu pada usia 6 tahun secara sukarela,” katanya.

Tambahnya, kegagalan di peringkat pelaksanaan, termasuk projek bermasalah atau lewat disiapkan akan menjejaskan keselesaan pembelajaran dan masa depan anak-anak.

“Soal integriti juga tidak boleh dikompromi. Setiap wang yang disalurkan adalah amanah dan mesti sampai kepada rakyat, bukan mengalir ke poket mana-mana pihak.

“Kelonggaran kelulusan projek bukan ruang untuk disalah guna, tetapi ikhtiar mempercepat pelaksanaan supaya manfaatnya segera dirasai oleh rakyat,” katanya