Gov News

Ujian diagnostik kemasukan Tahun Satu murid enam tahun dibatalkan – PM

KERAJAAN membatalkan cadangan untuk melaksanakan ujian diagnostik kemasukan ke Tahun Satu bagi murid enam tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil kerana dikhuatiri boleh bersifat diskriminasi dan memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak.

Menurutnya, cadangan awal melaksanakan ujian berkenaan adalah baik kerana ia merangkumi sistem penilaian sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan.

“Bagaimanapun, selepas diteliti, ia dianggap boleh menjadi diskriminasi.

“Ini bermakna ada kanak-kanak dibenarkan masuk ke tahun satu, manakala yang lain pula diletakkan di prasekolah – dilihat sebagai tidak layak, kurang cerdik dan sebagainya. Ini boleh memberi kesan psikologi.

“Selepas menyemak semula perkara ini, Menteri Pendidikan mencadangkan agar ujian diagnostik itu dimansuhkan.

“Berdasarkan syor daripada Menteri, saya bersetuju supaya ia dibatalkan agar proses itu dipermudahkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian bagi menjawab cadangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) supaya kerajaan menilai semula keperluan ujian saringan berkenaan.

Sebelum ini Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor memaklumkan, ujian saringan diagnostik khas akan digunakan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal umur enam tahun mulai sesi persekolahan 2027.

Beliau berkata, hanya murid yang layak dan berjaya melepasi kriteria ditetapkan setelah menduduki ujian diagnostik itu akan dipilih untuk kemasukan berkenaan.

Back to top button