
Isu pilihan raya Datuk Bandar tidak perlu dibahas di Parlimen- Fahmi
KERAJAAN menegaskan tiada keperluan mendesak untuk membentang atau membahaskan cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur di Parlimen buat masa ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menjelaskan perkara tersebut masih belum dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri, malah kajian mendalam yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga belum dimuktamadkan.
Mengulas desakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mahukan sesi penerangan menteri dan ruang perbahasan dibuka di Parlimen.
“Memang tidak ada apa-apa untuk dibentangkan pada waktu ini. Sekiranya pembangkang berhasrat untuk membangkitkan isu ini, mereka boleh menggunakan platform Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT),” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU antara Magna AI dan Kumpulan Zchwantech di Putrajaya, semalam.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan kerajaan bakal mengadakan perbincangan bersama Majlis Media Malaysia (MMM) bagi meneliti semula undang-undang media sedia ada.
Langkah ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memberikan ruang kebebasan media yang lebih terbuka serta mengelakkan pertindihan peraturan.
“Perdana Menteri ada menghubungi saya tengah malam tadi bagi membincangkan perkara ini, terutama berkaitan usaha memantapkan ekosistem media tempatan,” katanya


