
Kerajaan benar ibu bapa kendali akaun media sosial anak bawah 16 tahun- Fahmi
KERAJAAN menegaskan bahawa ibu bapa yang membuka dan mengendalikan akaun media sosial bagi pihak anak-anak berusia di bawah 16 tahun perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya dalam memantau aktiviti digital tersebut.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengenakan sekatan terhadap pembukaan akaun baharu media sosial bagi golongan kanak-kanak di bawah umur berkenaan.
Menurut beliau, penglibatan ibu bapa adalah kritikal bagi memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada bahaya di alam maya, terutamanya melibatkan interaksi dengan individu yang tidak dikenali.
“Kita mahu mengelakkan situasi di mana anak-anak mengendalikan akaun sendiri tanpa pengawasan. Kita tidak tahu dengan siapa mereka berkomunikasi atau siapa yang menghantar mesej secara terus (DM) kepada mereka,” ujar beliau.
Fahmi turut menyentuh mengenai trend kanak-kanak yang menjadi pempengaruh (influencer) atau pencipta kandungan (content creator).
Jelasnya, perkara itu tidak menjadi masalah sekiranya kandungan tersebut dimuat naik dan diuruskan sepenuhnya oleh penjaga.
Beliau menambah, kawalan ibu bapa adalah benteng utama dalam melindungi maklumat peribadi dan data anak-anak daripada disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Apa akan jadi kepada maklumat data mereka sekiranya ada pihak yang tidak diingini berkomunikasi dengan mereka? Jika ibu bapa yang mengendalikan akaun tersebut, ia adalah lebih selamat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.


