
Peguam Negara ketuai jawatankuasa khas siasat Azam Baki
PEGUAM Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengetuai jawatankuasa khas bagi menyiasat isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
“Jawatankuasa ini akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat.
“Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan pihak berkuasa tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Kabinet bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, jawatankuasa khas itu akan diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.


