
“Undur Muhyiddin” terpampang di Facebook Bersatu
KRISIS dalam Bersatu terus memuncak apabila pengendali Facebook rasmi parti itu memuatnaik poster “undur Muhyiddin”.
Poster dengan wajah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dipercayai tindak balas terhadap pemecatan bekas timbalan presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sehingga artikel ini ditulis poster berkenaan mendapat hampir 8,000 reaksi pengguna media sosial, hampir 2,000 komen serta dikongsikan oleh hampir 700 pemilik akaun Facebook.
Kemudiannya disusuli dengan poster Hamzah yang didakwa mendapat sokongan dua pertiga bahagian Bersatu.
Terbaru, pengendali Facebook Bersatu menyindir Muhyiddin yang berhasrat untuk menjadi perdana menteri, namun tidak cukup sokongan.
“Macam mana nak jadi PM kalau hanya 4 Ahli Parlimen je sokong?,” tulis Facebook Bersatu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengingatkan tentang Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) berhubung tindakan yang diambil pengendali Facebook berkenaan.
Beliau memetik Seksyen 233 – penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian/perkhidmatan rangkaian
“Jika akaun yang diambil alih digunakan untuk memuat naik kandungan jelik, palsu, mengancam atau mengganggu, ia boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 233.
“Hukuman: Denda hingga RM50,000 atau penjara hingga 1 tahun atau kedua-duanya, dan denda tambahan bagi kesalahan berterusan,” tulisnya di Facebook.
Tun Faisal turut memetik Akta Jenayah Komputer 1997 (AJK 1997) terhadap perbuatan “ambil alih akaun” Facebook yang membawa hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara hingga 5 tahun atau kedua-duanya.-


