Madani News

Azam Baki perlu direhatkan atau tak, tunggu siasatan jawatankuasa khas- PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak “memberi jawapan” apabila ditanya sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki perlu direhatkan susulan isu pemilikan saham yang didakwa melanggar peraturan penjawat awam.

Anwar sebaliknya mahu jawatankuasa khas yang dibentuk oleh Kabinet hari ini menyiasat terlebih dahulu isu berkenaan sebelum sebarang keputusan diambil.

“Biar (jawatankuasa khas) kaji dahulu kes (ini), kena tahu dahulu apakah serius, apakah ada asas, baru kita maju,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas solat Jumaat di surau Politeknik Shah Alam, semalam.

Anwar menegaskan yang beliau tidak mahu isu berkenaan menganggu peranan SPRM.

“Jangan kerana kita menjadi mangsa (siasatan SPRM), tertekan, terus nak guna (isu) ini untuk tekan (Azam),” tambah Anwar lagi.

Perdana Menteri berdepan tekanan supaya merehatkan Azam susulan kontroversi yang berkait dengan isu pemilikan saham.

Isu pemilikan saham oleh Azam mencetuskan kontroversi selepas pendedahan dilakukan Bloomberg.

Hari ini Kabinet menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi menyiasat isu berkenaan.

“SPRM jangan peduli tentang pandangan-pandangan lain, dia mesti jalan tugas dia dengan berani dan tegas.

“Negara ini mesti diselamatkan dari angkara durjana rasuah yang merebak menyeluruh,” tegasnya

Back to top button