Madani News

Rasuah: Agong beri amaran ramai lagi dalam radar baginda

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menzahirkan amaran bahawa lebih ramai lagi di dalam ‘radar’ baginda bagi misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.

Baginda bertitah, rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.

“Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima.., malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pelbagai lagi.

“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tidak kira apa jua pangkat anda…, begitu juga ejen-ejen yang menjadi ‘orang tengah’ selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan…anda juga dalam ‘radar’.

“Bak kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’…, jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah Seri Paduka Baginda pada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Titah baginda lagi, usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik, kerana tiada siapa boleh terlepas dari undang-undang.

Sultan Ibrahim bertitah sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah baginda.

Back to top button