Madani News

Anwar mahu RUU hadkan Perdana Menteri dilulus segera

DATUK Seri Anwar Ibrahim mahu Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun disegerakan dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang.

Perdana Menteri menegaskan, tempoh sedekad adalah mencukupi untuk seorang Perdana Menteri melaksanakan agenda pembaharuan dan dasar utama negara, sebelum memberi ruang kepada kepimpinan baharu meneruskan khidmat.

“Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, 10 tahun tu cukuplah, memadai untuk dia lakukan sebaiknya dan selepas itu sepatutnya dia sedia untuk melepaskan untuk rakan-rakan lain meneruskan khidmat…dan kalau ada konsensus majoriti Ahli Parlimen, kita boleh luluskan dalam sidang akan datang,” katanya.

Anwar berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting, hari ini.

Anwar berkata, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan terpakai bermula dengan diri beliau terlebih dahulu.

“Ya, dia bermula daripada sayalah. Maknanya, jangan saya buat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai untuk saya dulu,” katanya.

Back to top button