Malaysian News

Siasatan terhadap Azam Baki perlu ikut undang-undang, bukan persepsi atau sentimen politik

ISU membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mesti disiasat berlandaskan undang-undang, bukannya digerakkan oleh sentimen atau persepsi semata-mata.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, proses itu perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan dibuat terutama membabitkan penjawat awam yang telah lama berkhidmat dan berkorban tenaga dalam melaksanakan amanah negara.

Katanya, adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman sebelum siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus, lapor MalaysiaGazette.

Anwar mengingatkan masyarakat supaya tidak terburu-buru menghukum mana-mana individu atau institusi sebelum proses siasatan lengkap dilaksanakan mengikut lunas perundangan.

“Jangan beri gambaran seolah-olah semuanya buruk. Ini yang saya nak tekankan dan cara kita selesai ini, bagi saya ini undang-undang.

“Kalau ada aduan-aduan yang benar, bawa ke mahkamah, proses ini sama seperti mana yang kita bicarakan sekarang dalam kes SPRM.

“Bagi saya, saya tidak fikir saudara-saudara yang bekerja ini, yang berhempas pulas, terus dihukum sebelum siasat.

“Saya tidak pilih jalan itu. Siasat, kalau perlu tindakan, kita ambil tindakan. Kalau perlu hukuman, ikut hukum,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan program Ihya Ramadan, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, sebarang tindakan tidak boleh dipengaruhi rasa tidak senang, tekanan politik atau kepentingan kelompok tertentu.

“Jangan kita hukum kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi, atau kerana ada dorongan politik, atau kita bertindak kerana orang itu pernah mengambil tindakan kepada kelompok yang kita kaitkan. Kita harus teliti,” tegas beliau.

Bloomberg dalam laporannya mendedahkan Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam dalam sidang medianya menegaskan pegangan saham bernilai RM800,000 itu dibuat secara telus dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Kerajaan kemudian menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.

Back to top button