Madani News

Anwar minta jangan terus hukum Rafizi

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan orang ramai agar tidak terburu-buru menghukum atau membuat tuduhan melulu berhubung dakwaan salah laku dan rasuah yang dikaitkan dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau menegaskan bahawa walaupun setiap dakwaan perlu disiasat secara telus sekiranya mempunyai bukti, prinsip keadilan harus diutamakan tanpa melibatkan sentimen fitnah, terutamanya ketika umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan.

Bercakap kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat, hari ini, Anwar menyatakan pendirian kerajaan untuk kekal konsisten dalam menangani isu integriti.

“Apa jua dakwaan salah laku yang ada, kita mesti konsisten. Sesiapa yang dituduh harus disiasat secara telus dan terbuka.

“Sebelum siasatan dan pendakwaan selesai, kita tidak seharusnya menghukum sesiapa,” ujar beliau.

Anwar turut menambah bahawa budaya menghukum individu sebaik sahaja tuduhan timbul merupakan satu masalah yang perlu diperbetulkan dalam masyarakat.

Sebelum ini, Rafizi dikaitkan dengan

tuduhan membabitkan dua projek besar bernilai bilion ringgit terkait dengan perjanjian syarikat cip semikonduktor antarabangsa bernilai RM1.1 bilion.

Serta projek solar 750-megawatt bernilai RM2.5 bilion.

Menurut Perdana Menteri, beliau sentiasa terbuka terhadap sebarang aduan melibatkan kerajaan mahupun dirinya sendiri, namun ia mestilah berlandaskan fakta dan bukannya bertujuan untuk merosakkan reputasi pihak tertentu.

Dalam pada itu, Rafizi Ramli menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh pempengaruh media sosial, Caprice ataupun Ariz Ramli sebagai tidak berasas dan sengaja dibesar-besarkan.

Ahli Parlimen Pandan itu telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding undang-undang sekiranya permohonan maaf tidak dibuat oleh pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.

Back to top button