Madani News

Malaysia pantau rapi perkembangan isu tarif

KERAJAAN memantau rapi terhadap perkembangan terbaharu di Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu yang membatalkan tarif import yang diperkenalkan Presiden Donald Trump.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, meskipun Malaysia telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS pada tahun lalu, Putrajaya masih belum meratifikasi perjanjian berkenaan.

Jelasnya, kerajaan tidak mahu terburu-buru dan kini sedang menilai implikasi undang-undang serta dasar ekonomi di Washington bagi memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara.

“Kerajaan sedang menilai dengan teliti perkembangan undang-undang dan dasar terkini di AS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johari turut memberi peringatan bahawa walaupun Mahkamah Agung telah memberikan tamparan hebat kepada pentadbiran Trump, namun Washington masih memiliki “senjata” undang-undang lain untuk mengenakan tarif secara sepihak.

Keputusan Mahkamah Agung AS semalam memutuskan bahawa Trump telah melampaui bidang kuasanya di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).

Bagaimanapun, Trump tidak menunjukkan tanda-tanda akan berundur.

Beliau sebaliknya mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif seragam 10% ke atas semua barangan import menggunakan mekanisme undang-undang berbeza.

Johari menegaskan pihaknya sedang meneliti skop pengumuman tersebut.

Katanya, AS kekal sebagai rakan dagang strategik yang kritikal bagi Malaysia. Tahun lalu sahaja, jumlah perdagangan mencatatkan angka RM367 bilion, dengan nilai eksport Malaysia ke AS mencecah RM233 bilion.

Johari menekankan bahawa pendirian Malaysia kekal konsisten dalam menyokong perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan bagi memastikan ekosistem perniagaan yang stabil.

“Kita akan bertindak demi kepentingan terbaik Malaysia, sambil mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan AS,” jelas beliau lagi.

Malaysia juga akan terus memperkukuh kerjasama ekonomi serantau dan mempelbagaikan hubungan dagang bagi mengurangkan kebergantungan melampau kepada satu-satu pasaran global yang kini penuh dengan ketidaktentuan.

Back to top button