
Kebolehpasaran graduan tahfiz terjamin – Zahid
DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memberi jaminan kebolehpasaran graduan tahfiz profesional dan teknokrat di negara ini mencapai tahap 100 peratus melalui jalinan kerjasama strategik dengan syarikat multinasional (MNC).
Timbalan Perdana Menteri berkata, jaminan itu bersandarkan kepada permintaan industri yang sangat tinggi ketika ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir negara.
Menurut beliau, industri kini memerlukan kira-kira 60,000 jurutera setahun, namun institusi pendidikan negara setakat ini hanya mampu membekalkan sekitar 6,000 graduan sahaja dalam bidang berkenaan
“Jurang besar ini membuka ruang luas kepada lepasan tahfiz yang bukan sahaja menghafaz 30 juzuk al-Quran, malah mengikuti pengajian profesional dalam bidang berimpak tinggi seperti kejuruteraan, teknologi kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), robotik dan kenderaan elektrik (EV),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Gen Hufaz Teknokrat MARA 2026 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan, program melahirkan huffaz profesional ini digerakkan melalui institusi pendidikan MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL); Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN)
Tambah beliau, kerajaan sebelum ini menetapkan sasaran melahirkan 125,000 huffaz profesional dan teknokrat menjelang 2050. Namun, melihat kepada perkembangan semasa dan pemantauan rapi, beliau optimis sasaran itu mampu dicapai lebih awal.
“Kita tidak perlu ragu-ragu tentang peluang kerja kerana kolaborasi bersama MNC memastikan kebolehpasaran mereka adalah 100 peratus. Pendidikan TVET huffaz kini telah diperluaskan ke seluruh negara,” jelasnya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta barisan kepimpinan kementerian berkaitan.


