
Hina Islam: Penuntut UMPSA mengaku tidak bersalah
SEORANG penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dilaporkan memijak al-Quran sebelum ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas dua pertuduhan menghina Islam dan membuat penghantaran jelik melampau di media sosial dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Bagaimanapun tertuduh, K S Vikneswaran, 21, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad, lapor BH.
Mengikut pertuduhan pertama, penuntut terbabit didakwa mencemarkan al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama Islam.
Kesalahan didakwa dilakukan kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 22 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman.
Pendakwaan bagi pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-dua-dua sekali.
Bagi pertuduhan kedua, Vikneswaran didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat penghantaran komunikasi jelik melampau melalui aplikasi Threads di lokasi serta masa sama dengan pertuduhan pertama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun dan denda hingga RM500,000 atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Pahang, Sharizat Ismail dan tertuduh diwakili peguam Mohd Rusnizam Abdullah.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM50,00 bagi kedua-dua kes, manakala peguam tertuduh memohon kadar itu dikurangkan kepada RM10,000.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 April sebagai tarikh sebutan kes dan tertuduh dibenarkan dijamin RM10,000 serta melapor diri di balai polis berhampiran kediamannya setiap bulan sehingga perbicaraan kes selesai.

