
PM arah tingkatkan pendidikan, kesedaran awam tangani jenayah dalam talian
DATUK Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan supaya pendekatan pendidikan dan peningkatan kesedaran awam dijadikan teras utama dalam usaha memerangi jenayah penipuan dalam talian yang kian membimbangkan.
Perdana Menteri menegaskan, keperluan memperkukuh aspek penguatkuasaan, termasuk memantapkan penyelarasan operasi melalui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi memastikan tindakan lebih pantas dan berkesan dapat dilaksanakan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata mesej berkenaan disampaikan Perdana Menteri ketika melawat pusat operasi NSRC yang beroperasi di Aras 17, Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di Cyberjaya, hari ini.
Menurutnya, Perdana Menteri mahu program kesedaran awam diperhebat dan diperluas agar masyarakat lebih berhati-hati serta tidak mudah terpedaya dengan taktik sindiket yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Perdana Menteri menekankan tentang peri pentingnya program meningkatkan kesedaran agar kita jangan sampai terlibat (jadi mangsa penipuan) (yang) kadang-kadang didorong oleh sikap tamak ataupun tawaran-tawaran yang dianggap sebagai sangat lumayan hasilnya kalau ikut serta,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran pusat operasi NSRC yang disempurnakan Perdana Menteri, di Cyberjaya, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.


