Madani News

Muhyiddin akui janggal duduk sebelah Hamzah di Dewan Rakyat

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengakui janggal untuk duduk bersebelahan dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat, terutama selepas Ahli Parlimen Larut itu menamakan beliau sebagai ‘musuh nombor satu’.

Perkara itu dinyatakan Presiden BERSATU itu ketika ditanya mengenai tempat duduk Hamzah yang masih dikekalkan bersebelahan Muhyiddin di Dewan Rakyat, meskipun sudah dipecat BERSATU, lapor BH.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ia juga salah satu sebab mengapa beliau tidak ke Parlimen minggu ini.

“Saya tak pergi ke Parlimen (minggu ini), satu (sebab) saya tidak berapa sihat.

“Keduanya bila dengar duduk sebelah Hamzah (di Dewan Rakyat) saya tak nak duduklah. To be frank, it’s not that because I want to be absent (terus terang, bukan kerana saya mahu tidak hadir), (tetapi sebab) janggal,” katanya ketika melalui sesi temubual bersama media di ibu pejabat BERSATU, semalam.

Hamzah yang dipecat keahliannya daripada BERSATU pada 13 Februari lalu sebelum ini menyatakan beliau kini menjadi penentang utama serta kepada Muhyiddin, mengisytiharkan dirinya sebagai ‘musuh nombor satu’ Presiden BERSATU itu.

Sebelum ini foto memaparkan kerusi Muhyiddin kosong di Dewan Rakyat selepas pemecatan Hamzah daripada BERSATU.

Bagaimanapun, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden BERSATU kelihatan hadir seperti biasa dan mengambil tempat di blok pembangkang bersebelahan Muhyiddin.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan Hamzah sepatutnya insaf dan sedar bahawa beliau bukan lagi ketua pembangkang dan berundur dengan baik.

“The best thing is for him to leave (cara terbaik bagi beliau adalah berundur).

“(Saya ada) beritahulah dia pergi baik-baiklahkan. Tapi beliau kata tidak, sebab saya masih tidak terpecat lagilah. Hang hendak tunggu orang pecat (pula),” katanya.

Back to top button