
Antara prinsip dan tembolok politik, yang mana lebih penting?
CADANGAN menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun bukanlah idea luar biasa., kata penganalisis politik Datuk Dr Azhar Ahmad.
Beliau menegaskan, banyak negara sudah melaksanakan had tempoh yang dianggap mekanisme asas untuk mengelakkan pemusatan kuasa terlalu lama pada seorang individu.
“Di Malaysia, ia dibawa sebagai sebahagian agenda reformasi institusi oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia satu langkah yang mahu memperkukuh demokrasi berparlimen dan membina budaya politik lebih sihat,” katanya ketika dihibungi, hari ini.

Namun Azhar menjelaskan, apabila Rang Undang-Undang (RUU) itu memerlukan sokongan dua pertiga, penolakan daripada Perikatan Nasional (PN) menjadi titik persoalan.
“Kenapa reformasi yang tidak menyasar mana-mana individu secara langsung dianggap tidak wajar? Mengapa langkah menghadkan kuasa dianggap bukan keutamaan?
“Di pentas politik, PN sering mengangkat naratif integriti dan tadbir urus bersih. Mereka mengkritik penyalahgunaan kuasa dan budaya politik lama.
“Tetapi apabila sampai pada cadangan yang secara prinsipnya boleh menghalang dominasi kuasa berpanjangan, nada berubah.
“Tiba-tiba muncul hujah bahawa mandat rakyat sudah memadai. Tiba-tiba wujud kebimbangan tentang pindaan Perlembagaan yang kononnya tergesa-gesa,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas.
Dalam pada itu Azhar turut mempersoalkan PN bahawa jika benar yakin pada kuasa rakyat melalui pilihan raya, mengapa takut kepada had dua penggal? Sepuluh tahun bukan tempoh yang singkat.
“Dalam satu dekad, seorang Perdana Menteri boleh melaksana pelbagai dasar, membentuk hala tuju negara, malah meninggalkan legasi. Had tempoh bukan menafikan mandat rakyat tetapi ia memastikan mandat itu tidak menjadi lesen kekal tanpa had,” katanya.
Apa yang mengecewakan, Azhar menjelaskan, sikap beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang dilihat begitu teruja sehingga tergamak menaikkan hantaran di media sosial, kononnya itulah kali pertama kerajaan gagal memperoleh jumlah mencukupi untuk meluluskan sesuatu RUU.
“Sorakan politik itu kedengaran seolah-olah satu kemenangan besar telah dicapai. Namun hakikatnya, isu sebenar bukan kekurangan majoriti mudah. Kerajaan mempunyai jumlah mencukupi untuk meluluskan undang-undang biasa.
“Apa yang tidak cukup hanyalah dua undi bagi mencapai sokongan dua pertiga Dewan Rakyat iaitu syarat wajib untuk pindaan Perlembagaan.
“Perbezaan itu besar dari sudut teknikal dan prinsip. Mengaburkan fakta demi membina persepsi kemenangan politik hanya memperlihatkan betapa naratif lebih diutamakan berbanding ketepatan maklumat,” katanya.
Azhar menambah, dalam suasana rakyat bergelut dengan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi, kegembiraan terhadap kegagalan reformasi institusi memberi gambaran seolah-olah politik angka lebih penting daripada politik nilai.
“Bukankah lebih matang jika perbahasan difokuskan pada merit cadangan itu sendiri, bukan pada siapa “menang” atau “kalah” dalam kiraan undi?
“Hakikatnya, politik Malaysia sudah terlalu lama terikat dengan budaya “tombolok kuasa”. Siapa pegang lama, dia kuasai naratif, struktur, dan jaringan pengaruh. Tanpa had tempoh, sistem bergantung sepenuhnya pada dinamika dalaman parti dan percaturan Dewan Rakyat.
“Dan dalam landskap politik yang sering berubah-ubah, kestabilan institusi sepatutnya menjadi keutamaan, bukan sekadar kestabilan kuasa.
“Penolakan ini menimbulkan persepsi bahawa strategi jangka panjang lebih penting daripada prinsip jangka panjang,” katanya.
Azhar turut menegaskan, had tempoh mungkin tidak memberi kesan hari ini, tetapi esok lusa apabila peta politik berubah, ia boleh menjadi sekatan kepada mana-mana pihak yang ingin bertahan terlalu lama di puncak kuasa.
“Maka tidak hairan jika ada yang melihat penolakan itu sebagai usaha menjaga ruang kemungkinan politik sendiri.
“Sudah tentu PN berhak mempunyai pandangan berbeza. Dalam demokrasi, perbezaan itu lumrah.
“Namun apabila parti yang lantang mengkritik budaya politik lama menolak mekanisme menghadkan kuasa, dan dalam masa sama meraikan kegagalan teknikal dengan sorakan media sosial, kontradiksi itu sukar untuk tidak diperhatikan,” katanya.
Semalam, kerajaan kekurangan dua sokongan untuk mendapat dua pertiga sokongan iaitu 148 ahli Dewan Rakyat bagi meluluskan RUU yang menghadkan tempoh 10 tahun kepada seseorang individu menjadi Perdana Menteri.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaklumkan bahawa 32 Ahli Parlimen tidak hadir manakala 44 tidak menyokong atau berkecuali.
“Akhirnya, isu ini bukan soal menyokong atau menentang individu. Ia soal falsafah politik. Adakah kita mahu demokrasi yang berani meletakkan pagar pada kuasa, atau demokrasi yang membiarkan kuasa menentukan sendiri hadnya?
“Jika reformasi dianggap ancaman, mungkin yang benar-benar tergugat bukan sistem tetapi keselesaan politik yang terlalu lama ingin dipeluk erat.
“Dan di situlah rakyat berhak bertanya: antara prinsip dan tombolok politik, yang mana sebenarnya lebih utama?” katanya.


