
13 kes jenayah babit pengetua, guru besar tempoh 4 tahun
SEBANYAK 13 kes jenayah membabitkan pengetua dan guru besar disabitkan di mahkamah sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, mereka terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah termasuk kes salah guna kuasa, pengurusan kewangan, gangguan seksual dan khalwat.
Tegasnya, Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius setiap kesalahan terbabit.
“Kesemua sabitan akan diteliti oleh Pihak Berkuasa Tatatertib untuk menentukan hukuman bersesuaian berdasarkan fakta setiap kes.
“Antara hukuman tatatertib yang dikenakan termasuk turun gaji, turun pangkat, dan buang kerja bagi memastikan integriti dan disiplin dalam kalangan pentadbir sekolah terus terpelihara,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, malam tadi.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai jumlah pengetua dan guru besar yang telah didapati bersalah di mahkamah membabitkan kes salah guna kuasa, pengurusan kewangan, jenayah seksual dan lain-lain.


