
Konflik Teluk: Kerajaan jangka jejas kepada ekonomi negara
KERAJAAN bimbang konflik yang sedang berlaku di negara Teluk ketika ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap ekonomi negara, termasuk keupayaan mengawal harga minyak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini Kerajaan Persekutuan masih berupaya mengawal harga minyak termasuk RON95 pada paras RM1.99 seliter.
Beliau berkata, penutupan Selat Hormuz oleh Iran baru-baru ini menyebabkan lebih 200 kapal minyak dan gas serta peralatan berkaitan terkandas di perairan berkenaan.
Katanya, keadaan itu tentunya akan menjejaskan perniagaan dan perdagangan, selain meningkatkan kos pengangkutan berikutan kapal dagang terpaksa melalui laluan yang lebih jauh.
“Setakat ini seperti mana saya umumkan kita akan cuba kawal termasuk RON95 pada kadar RM1.99. Keadaan ini kita pantau kerana setakat ini kita masih boleh bertahan dalam satu dua bulan tetapi petanda-petanda awal tidak begitu baik dan menyenangkan,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Musalla Solat Jumaat di pusat beli-belah IOI City Mall, di Putrajaya, hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI mengikuti perkembangan di negara Teluk yang disifatkannya sebagai menggusarkan apabila Amerika Syarikat serta Israel masih terus menyerang Iran ketika ini.
Beliau berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah terhadap kesannya kepada ekonomi dan geopolitik serantau.
“Kerajaan akan ambil langkah-langkah pasti segera kerana kesan ekonomi kalau keadaan ini berlanjutan (dan) tidak dapat dielakkan.
“Kos barangan, kos import bagi syarikat-syarikat kecil sederhana dan juga import umumnya barang makanan akan meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar mengesyorkan semua anggota masyarakat termasuk penjawat awam, pekerja dan peniaga supaya berwaspada serta tidak memandang ringan kesan konflik berkenaan.
Jelasnya, jika konflik itu berterusan, ia berpotensi menjadi krisis ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangka.
“Saya lihat sekarang ini dalam media nampak tumpuan ini kurang ketimbang apa yang dilaporkan atau diliputi oleh negara-negara jiran dan negara-negara lain.
“Jadi saya tidak mahu pandangan yang selesa, perbelanjaan tidak kawal, tidak terkawal, amalan boros dan membazir minta tolong jaga daripada sekarang.
“Janganlah kita bila dah terhantuk, baru kita cari bantal,” katanya.


