Madani News

UMNO buka pintu penyatuan tanpa syarat

MENGAMBIL keberkatan Ramadan, UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli yang dipecat mahupun digantung untuk kembali semula kepada perjuangan parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kekhilafan dan perbezaan yang lalu dalam kalangan mereka telah dimaafkan sepenuhnya, demi membuka lembaran baharu.

“Atas semangat tersebut, UMNO membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ ini seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali atau mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan ini untuk menyertai UMNO.

“Dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan dan perbezaan yang lalu dimaafkan sepenuhnya, demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada kekuatan struktur organisasi, tetapi terbina atas sokongan, dokongan dan kebersamaan seluruh ahlinya di setiap peringkat.

Pada Perhimpunan Agung UMNO Januari lalu, Ahmad Zahid mengumumkan penubuhan Rumah Bangsa bagi menyatukan semula ahli parti itu.

Bagi tujuan itu UMNO menubuhkan sebuah jawatankuasa dirujuk Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk meneliti penyertaan semula mana-mana bekas ahli parti itu.

Penyertaan semula itu boleh dilakukan secara individu atau en bloc.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses ini
dengan segera melalui tatacara yang bersesuaian menurut Perlembagaan UMNO.

“Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah Subhanahuwataala dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, serta memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara,” kata Ahmad Zahid lagi.- 

Back to top button