
Langkah berjimat, tidak ada sambutan Aidilfitri – Anwar
KERAJAAN hari ini mengumumkan tiada pengajuran sambutan Aidilfiri bagi agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai langkah berjimat susulan krisis di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini.
“Saya telah memutuskan bersama Jemaah Menteri supaya semua agensi kerajaan, GLC dan GLIC tidak akan menganjurkan perayaan rumah terbuka Aidilfitri.
“Ini memberikan satu mesej supaya perbelanjaan lebih cermat dan sederhana.
“Ada yang bertanya, kalau keadaan terkawal dan barang keperluan seperti minyak dan gas masih boleh disediakan dan mencukupi, apa keperluan kita waspada dan berjimat.
“Saya kata ini langkah waras bagi kita supaya jangan nanti terjebak dengan keadaan yang lebih parah. Jadi sebaiknya kita ambil sikap yang lebih sederhana, lebih bertanggungjawab,” katanya dalam sidang media yang disiarkan di Facebooknya hari ini.
Sementara itu, sebagai langkah penjimatan kerajaan juga melakukan sekatan terhadap lawatan menteri, anggota pentadbiran ke luar negara.
Katanya, lawatan hanya dibenarkan kepada kunjungan yang sememangnya dijadualkan dan wajib dihadiri.
“Menteri serta seluruh anggota pentadbiran dan jabatan dihadkan lawatan ataupun kunjungan ke luar negara, melainkan yang memang dalam jadual wajib dihadiri,” katanya lagi


