Gov News

RON95: Negara lain naik harga, tapi Malaysia masih kekal

KERAJAAN mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM1.99 di bawah program Budi MADANI (BUDI95) walaupun berlaku peningkatan harga minyak mentah Brent susulan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekalan petroleum negara juga berada pada tahap terkawal dan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan konflik berkenaan bagi memastikan kebajikan rakyat serta kestabilan ekonomi negara terus terpelihara dalam keadaan geopolitik yang mencabar.

“Pertama, keterjaminan bekalan minyak di Malaysia terkawal. Itu dalam keadaan sangat membanggakan, Alhamdulillah. Bila kita semak dengan Petronas, kita dapati bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026. Ini berbeza dengan keadaan kebanyakan negara lain. Sebab itu saya tekankan tentang isu tatakelola, pengurusan cekap, amanah dan profesional.

“Kedua, kita akan terus mendepani masalah dengan fokus menjaga kepentingan rakyat. Sebagaimana kerajaan melindungi rakyat daripada impak penuh kenaikan harga minyak dan harga keperluan lain.

“Sebab itu saya maklumkan kepada Jemaah Menteri untuk tetapkan harga BUDI95 untuk rakyat, biarpun satu keputusan yang sukar, kerana harga pasaran jauh lebih tinggi daripada harga pasaran bulan lalu, dan harga sebenar apatah lagi jika dibandingkan dengan negara jiran yang tiga kali ganda,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Anwar berkata, beliau turut mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya memastikan bekalan petrol sentiasa mencukupi serta membendung sebarang kegiatan penyeludupan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, akan mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi meneliti kesan ekonomi susulan perkembangan konflik tersebut setiap hari supaya maklumat terkini dapat disalurkan kepada kepimpinan kerajaan.

Back to top button