Madani News

Konflik Asia Barat: Kos penerbangan terkesan – Fadillah

KONFLIK Asia Barat dijangka memberi kesan langsung kepada peningkatan kos tiket penerbangan, termasuk laluan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung susulan lonjakan harga minyak mentah global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kenaikan harga minyak dunia itu juga dijangka akan memberi rantaian kesan kepada kos insurans dan logistik, yang seterusnya menjejaskan kos pengangkutan udara serta laut.

Jelasnya, situasi tersebut boleh menjurus kepada pengenaan surcaj bahan api untuk penerbangan domestik mahupun antarabangsa, yang akhirnya memberi impak kepada kos perjalanan rakyat terutamanya di Sarawak.

“Apabila harga minyak meningkat, kos insurans dan logistik juga akan naik. Ini merangkumi kos operasi pesawat serta kos penghantaran melalui laut.

“Penerbangan pergi balik antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung mungkin turut terjejas memandangkan surcaj bahan api berkemungkinan akan dikenakan ke atas penerbangan domestik dan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Fadillah turut memberi bayangan kerajaan terpaksa mengutamakan jaminan bekalan dalam negara sekiranya konflik Asia Barat terus menjejaskan rantaian bekalan tenaga global.

Menurutnya, walaupun langkah seperti menyekat eksport bahan api mungkin dipertimbangkan jika keadaan benar-benar mendesak, walaupun pelaksanaannya bukanlah satu proses yang mudah.

“Sekiranya terpaksa, kita akan meneliti segala kemungkinan (termasuk sekatan eksport). Namun, ia kekal sebagai pilihan terakhir kerana negara masih terikat dengan komitmen dan perjanjian sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Amal Aidilfitri di Pusat Khidmat ADUN Samariang, di Kuching pada Sabtu. 

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) kini sedang giat berunding dengan syarikat penerbangan bagi memastikan kos pengangkutan jemaah haji tidak terjejas teruk susulan konflik yang melanda Asia Barat.

Menurutnya, kerajaan sentiasa memantau rapi perkembangan semasa di rantau berkenaan, terutamanya sebagai persediaan menjelang musim ibadah haji kelak.

Jelas beliau, kenaikan kos penerbangan tersebut adalah antara kemungkinan besar yang perlu ditangani segera sekiranya ketegangan di Iran dan negara teluk terus berpanjangan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah bagi mengurangkan penggunaan bahan api, sekali gus memastikan bekalan tenaga negara dapat bertahan dengan lebih lama.

Tambahnya, Malaysia masih mempunyai bekalan gas yang mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini dan beberapa pilihan bekalan alternatif juga telah dikenal pasti.

Tegasnya, kedudukan ekonomi dan kewangan negara ketika ini masih kukuh serta berdaya tahan, namun langkah pencegahan proaktif perlu diambil sekiranya krisis tersebut berpanjangan.

Back to top button