PRESIDEN UMN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa krisis pentadbiran yang sedang melanda Negeri Sembilan akan diselesaikan melalui saluran politik demi menjamin kestabilan kerajaan negeri.
Tegasnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang adat serta urusan pentadbiran kerajaan sedia ada tanpa sebarang campur tangan luar.
“Kita akan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan sebuah kerajaan yang kukuh di Negeri Sembilan dapat terus melayani dan mendepani permasalahan rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas merasmikan Sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Cyberjaya pada Selasa.
Situasi politik di Negeri Sembilan dilaporkan bergolak selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendedahkan tindakan tersebut terpaksa diambil susulan krisis yang melibatkan institusi adat dan Perlembagaan di negeri itu.
Krisis ini mencapai kemuncak apabila timbul tindakan luar jangka di mana Undang Luak dilaporkan mengisytiharkan penurunan tahta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Balai Undang Luak Sungai Ujong.
Isu ini dipercayai berpunca daripada rentetan nasihat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan berhubung pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra bagi Luak Sungai Ujong.
Susulan itu persidangan DUN Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari kini ditangguhkan ke tarikh yang belum ditentukan.
Walaupun istiadat pembukaan telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada Khamis lalu, kemelut ini memaksa urusan dewan dihentikan buat sementara waktu.




