
Zahid maafkan Khairy, ajak lupa sengketa lama
PENYERTAAN kembali Khairy Jamaluddin ke pangkuan UMNO sekali gus menamatkan persengketaan antara bekas menteri kesihatan itu dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu video pertemuan antara Khairy dan Zahid, Presiden UMNO itu mengesahkan persengketaan mereka telah berakhir.
“Saya maafkan Khairy Jamaluddin dan saya ingin mengesahkan penerimaan beliau dan kita melupakan semua perkataan-perkataan yang pernah dikeluarkan secara negatif.
“Dengan ini disahkan bahawa saudara Khairy Jamaluddin kembali kepada UMNO,” kata Zahid dalam satu video yang dikongsikan pegawai Khairy.
Video itu membabitkan pertemuan Khairy dengan Zahid bagi menyerahkan surat rayuan untuk kembali menyertai UMNO.
Terdahulu, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda UMNO secara rasmi telah menghantar surat untuk memohon kembali ke pangkuan UMNO kepada Presiden parti itu.
Perkembangan itu didedahkan Zahid yang telah menerima surat rayuan dari Khairy pada malam 26 Ramadan.
Zahid berkata, secara peribadi beliau telah menerima permohonan yang dikemukakan oleh Khairy itu.
“Alhamdulillah. Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin, yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO,” katanya.


