
Tiada PdPR, sesi persekolahan berjalan seperti biasa
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa sesi persekolahan di seluruh negara akan diteruskan seperti biasa buat masa ini.
Pihak kementerian turut menjelaskan bahawa tiada sebarang ketetapan baharu dibuat berhubung pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Kenyataan ini hadir bagi meredakan kegusaran ibu bapa dan masyarakat susulan tularnya laporan yang mendakwa PdPR akan kembali dilaksanakan ekoran situasi ekonomi semasa.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pihak kementerian sentiasa memantau keadaan dan prihatin terhadap kebimbangan orang ramai.
“Keutamaan KPM adalah untuk memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas, serta pada masa sama aspek kebajikan dan kesejahteraan semua pihak terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin.
Terdahulu, timbul khabar angin yang mendakwa kerajaan bakal memutuskan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dan PdPR dalam mesyuarat Kabinet Selasa ini.
Langkah itu kononnya dicadangkan sebagai strategi penjimatan negara ekoran ketidaktentuan ekonomi global.
Untuk rekod, Malaysia pernah melaksanakan PdPR secara menyeluruh selama hampir dua tahun ketika mendepani pandemik Covid-19 lima tahun yang lalu.
KPM meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan merujuk kepada saluran rasmi untuk maklumat sahih.


