Malaysian News

Perjanjian ART batal: Kerajaan belum terima surat rasmi dari AS

KERAJAAN tidak menerima sebarang surat rasmi daripada Amerika Syarikat (AS) berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani kedua-dua negara, susulan keputusan mahkamah negara itu membatalkan sebahagian besar tarifnya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata makluman mengenai perkara tersebut diperolehi melalui pengumuman mahkamah berkenaan, dan AS akan buat semakan bagi menentukan kadar tarif baharu dalam tempoh lima bulan.

“Sekarang tengah siasat setiap negara. Ada 60 negara. Nanti bila dia sudah dapat dapatan itu, dia akan bagi cadangan kepada kita. Jadi kita ambil dan bincang apa syaratnya,” katanya lapor Kosmo.

Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menandatangani perjanjian perdagangan itu pada Oktober lalu, di luar sidang kemuncak Asean.

Perjanjian tersebut mengekalkan tarif 19% ke atas barangan Malaysia, namun beberapa produk diberikan kadar tarif sifar di bawah senarai perdagangan rakan sejajar.

Selepas keputusan Mahkamah Agung AS, Trump berkata beliau akan mengenakan tarif global sebanyak 15% bagi menggantikan tarif yang dibatalkan oleh mahkamah, selepas sebelum ini mengumumkan levi 10% ke atas semua barangan yang memasuki AS.

AS pada Rabu memulakan siasatan terhadap tindakan, dasar, dan amalan dalam 15 rakan dagang, termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah, di bawah Seksyen 301(b) berkaitan lebihan kapasiti struktur dan pengeluaran dalam sektor pembuatan.

Keesokan harinya, wakil perdagangan Jamieson Greer berkata AS telah melancarkan siasatan ke atas 60 buah negara di bawah seksyen akta yang sama, yang diwujudkan antara lain untuk menangani kegagalan mengambil tindakan terhadap buruh paksa.

Back to top button