Madani News

DAP kena minta Kulasegaran letak jawatan – Khairy

DAP akan terus dilihat sebagai parti yang anti Melayu-Islam jika hanya membiarkan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran memberi sokongan kepada aktivis kuil haram Arun Dorasamy.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Setiausaha Agung DAP perlu bertindak dengan meminta Kulasegaran segera meletakkan jawatan.

“Untuk Anthony Loke Setiausaha Agung DAP, dia perlu juga minta Kulasegaran letak jawatan.

“Kalau nak selamatkan DAP daripada persepsi DAP ada tanggapan anti Melayu, anti Islam dan sebagainya.

“Loke should preempt the prime minister him self by asking Kula to step down,” katanya dalam video Keluar Sekejap.

Semalam, Kulasegaran dikecam pelbagai pihak susulan tindakan hadir bersama Arun di Mahkamah Majistret Jawi di Nibong Tebal.

Menjawab kritikan Kulasegaran mendakwa kehadirannya hanya untuk bertemu dengan Arun sekejap namun beliau tidak masuk ke kamar mahkamah.

Tindakan beliau dipertikai kerana dilihat umpama memberi sokongan kepada orang kena tuduh (OKT).

Terdahulu, Arun dilaporkan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan kerana niat menyebabkan kegentaran kepada orang ramai.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad di Mahkamah Majistret Jawi di sini pada pagi Selasa.

Mengikut pertuduhan, beliau yang berusia 56 tahun didakwa membuat kenyataan dengan niat hendak menyebabkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam yang mana, kenyataan tersebut telah dilihat dan didengar oleh Nor Al Firdaus Nor Al Huda.

Back to top button