
Ramanan tegaskan dia bukan ‘Mr R’, tak terima RM9.5 juta dari Victor Chin
MENTERI Sumber Manusia Datuk R. Ramanan tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan skandal rasuah berjumlah RM9.5 juta melibatkan ahli perniagaan kontroversi, Victor Chin.
Naib Presiden PKR itu menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengenali mahupun bertemu dengan individu yang digelar sebagai “mafia korporat” tersebut, sekali gus menolak spekulasi bahawa beliau adalah individu bergelar “Mr R” seperti yang tular di media sosial.
Bercakap dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Buloh hari ini, Ramanan mencabar pihak yang membuat tuduhan untuk mengemukakan bukti kukuh dan bukannya sekadar melemparkan fitnah melulu.
“Aada sebahagian cuba mengaitkan Mr R itu dengan saya. Dia kononnya cakap Mr R itu saya. Saya tak pernah jumpa Mr Chin, saya tak tahu siapa dia, saya tak pernah bercakap dengan dia.
“Macam mana saya boleh ambil RM9.5 juta daripada seorang yang saya tak kenal?,” katanya dalam sidang media di Sungai Buloh hari ini.
Isu ini semakin panas apabila Ramanan mendakwa serangan terhadapnya didalangi oleh “cybertrooper” yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli. Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan terdesak untuk memecahbelahkan parti.
Ramanan turut melancarkan serangan lisan terhadap Rafizi dengan melabelkan beliau sebagai “menteri gagal” yang mempunyai agenda tersembunyi.
Mempersoalkan tindakan Rafizi yang sering mengecam pihak berkuasa, seolah-olah cuba melindungi kumpulan mafia korporat tersebut.
Terdahulu, Victor Chin melalui dokumen setebal 40 halaman mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta RM10 juta bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapinya dengan kumpulan mafia korporat.
Chin mendakwa telah menyerahkan RM9.5 juta, namun isu tersebut gagal diselesaikan. Beliau turut memberi kata dua kepada Ahli Parlimen berkenaan:
“Sila pulangkan RM9.5 juta sebelum 30 Mac 2026, atau saya akan mendedahkan identiti anda.”
Setakat ini, identiti sebenar “Mr R” masih menjadi tanda tanya, namun Ramanan tetap dengan pendiriannya mencabar mana-mana pihak untuk membuktikan dakwaan pemilikan saham atau sebarang transaksi haram yang dikaitkan dengan namanya.


