
BUDI95: PM rayu rakyat faham, ini langkah sementara
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap rakyat memahami rasional di sebalik langkah yang diambil kerajaan bersifat sementara demi kepentingan negara dan orang ramai ketika mendepani krisis Asia Barat ini.
Anwar merayu orang ramai memahami bahawa langkah ini demi menjaga kepentingan negara dalam mendepani tekanan ekonomi semasa.
“Sebagai contoh, kita melaksanakan Budi95. Semua negara, terutama negara jiran telah menaikkan harga minyak tetapi Malaysia mengambil keputusan mengekalkan harga minyak Budi95 pada kadar RM1.99 seliter.
“Jadi, saya mohon rakyat dan rakan-rakan memahami bahawa langkah ini terpaksa diambil demi menjaga kepentingan ramai.
“Ia mungkin sedikit menyusahkan sebahagian rakyat, tetapi saya mohon pengertian dan kerjasama supaya kita dapat teruskan usaha bagi mengelak ketirisan ini,” katanya dalam perutusan khas, hari ini
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan komited untuk mengekalkan disiplin fiskal serta mengelakkan sebarang pembaziran bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal mampan.
Tambah beliau, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik khususnya di Asia Barat, Malaysia tetap kekal sebagai destinasi pelaburan utama yang terus menarik minat pelabur asing.


