Malaysian News

Kenaikan harga petroleum bukan tindakan segaja kerajaan- Akmal

PEMUDA UMNO bakal menganjurkan semula Rundingan Meja Bulat Nasional 2.0 (RIMBUN 2.0) dalam tempoh terdekat bagi mencari jalan penyelesaian konkrit berhubung isu kenaikan harga minyak yang kian menghimpit rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menegaskan bahawa peningkatan harga bahan api bukanlah tindakan sengaja pihak kerajaan, sebaliknya ia merupakan kesan langsung daripada lonjakan harga minyak di pasaran global.

Menurut beliau, isu ini tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk mengelirukan rakyat, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh pihak pembangkang sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Bagi kami, isu kenaikan harga minyak ini adalah isu global yang perlu ditangani bersama, baik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang. Ini bukan masa untuk pemimpin bergaduh, ini masa untuk kita buat satu keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil perbincangan tersebut akan dirumuskan sebagai cadangan rasmi untuk diangkat kepada pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia terus terpelihara.

Dr. Akmal turut mengambil pendekatan inklusif dengan menjemput semua pihak, tanpa mengira ideologi politik, untuk hadir ke meja rundingan tersebut dengan hati dan pemikiran yang terbuka.

“Kami tidak janji kosong, tapi kami bawakan solusi yang terbaik untuk kita semua. Insya-Allah, kita jumpa di RIMBUN 2.0,” katanya lagi.

Langkah ini dilihat sebagai usaha proaktif Pemuda UMNO dalam memainkan peranan sebagai pendamai dan penyelesai masalah (troubleshooter) di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada kos sara hidup domestik.

Back to top button