Malaysian News

Pemandu mabuk rempuh penunggang motosikal hingga maut direman empat hari

PEMANDU mabuk yang merempuh penunggang motosikal sehingga maut di Jalan Raya Barat di Klang semalam, direman empat hari.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, lelaki berkenaan direman bermula hari Isnin hingga Khamis.

“Reman dikeluarkan Majistret Siti Zubaidah Mahat. Siasatan lanjut kini sedang dijalankan,” katanya.

Semalam, penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat di Klang selepas dirempuh seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah.

Jit Huey dilaporkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 pagi membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta.

“Siasatan awal mendapati sebuah Honda City yang dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an bergerak dari Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang secara melulu dan pada kelajuan tinggi.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal dari arah hadapan,” katanya

Katanya, impak pelanggaran menyebabkan mangsa berusia lingkungan 30-an tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, ujian saringan ke atas suspek mendapati lelaki itu positif alkohol dan dadah.

“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –

Back to top button