Malaysian News

Anak penjual pisang goreng raih 11A+ bakal ke Jordan-Asyraf pesan jangan lupa jasa mak, ayah

KISAH kejayaan Adik Fakhrul Iman Zainudin, seorang anak penjual pisang goreng yang meraih keputusan cemerlang 11A+ dalam semua subjek SPM 2025, mendapat perhatian penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan pencapaian bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang itu sebagai luar biasa, apatah lagi Fakhrul juga merupakan seorang hafiz al-Quran 30 juzuk.

Dalam satu pertemuan di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pagi tadi, Asyraf mencadangkan agar Fakhrul mengikuti program khas MARA ke Jordan bagi memperdalami bidang Syariah, dengan pengkhususan dalam Ekonomi dan Kewangan Islam.

“Saya mahu Fakhrul tidak hanya melihat bidang syariah secara tradisional, tetapi meluaskan skop kepada kepakaran kewangan syariah yang amat diperlukan negara masa depan,” ujar beliau.

Malaysia kini dikenali sebagai peneraju global dalam industri perbankan Islam, dan Asyraf sempat berkongsi pengalamannya dalam bidang tersebut bagi memberi inspirasi kepada Fakhrul untuk menjadi pakar masa hadapan.

Suasana pertemuan yang turut dihadiri ibu bapa Fakhrul itu bertukar ceria apabila Asyraf sempat berseloroh menguji hafazan al-Quran remaja berkenaan.

Asyraf turut menitipkan pesan mendalam agar Fakhrul sentiasa mengingati pengorbanan ibu bapanya yang memerah keringat menjual pisang goreng demi pendidikannya.

“Ingat, hanya dengan ilmu sahaja yang boleh merubah kehidupan keluarga, dengan izin Allah,” katanya lagi.

Pertemuan tersebut berjaya direalisasikan hasil makluman daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli yang membantu menghubungkan keluarga hebat ini dengan pihak MARA

Back to top button