Buat-buat bodoh pembangkang semakin menjadi-jadi

Buat-buat bodoh pembangkang semakin menjadi-jadi

SETIAP kali harga minyak naik, akan muncul satu fenomena pelik dalam politik negara yang secara tiba-tiba wujud pemimpin pembangkang yang hilang ingatan secara berjemaah.

Penganalisis politik Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, perkara asas ekonomi yang dulunya mereka faham ketika memegang kuasa, kini seolah-olah lenyap entah ke mana.

“Yang tinggal hanyalah satu skrip mudah.Salah kerajaan.

“Saya pun tak faham pembangkang di Malaysia ni sama ada berpijak di bumi nyata tau pun tidak. Hanya bercakap politik yang menyakiti hati orang lain dan bercakap untuk mempengaruhi orang lain dengan tohmahan tidak masuk akal.

“Mereka tidak peduli kepentingan negara, tetapi demi kepentingan politik untuk mencari pengaruh dengan menekankan harga minyak tak patut naik,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Azhar yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, kepura-puraan pemimpin pembangkang mengenai senario kenaikan harga minyak terserlah kerana mereka sebelum ini pernah memegang tampuk kuasa pentadbiran negara

“Mudah. Ringkas. Dan sangat berguna untuk memancing kemarahan rakyat. Tetapi yang lebih menarik, skrip ini sering dilakonkan oleh individu yang pernah duduk di kerusi empuk pentadbiran. Dalam kalangan Perikatan Nasional sendiri, bukan sedikit yang pernah menikmati kuasa, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ironinya, ketika mereka berkuasa, realiti pasaran global dijadikan alasan.
Hari ini, realiti yang sama tiba-tiba dianggap alasan yang “tidak boleh diterima”.

“Jadi sebenarnya siapa yang tidak faham? Atau… siapa yang berpura-pura tidak faham? Inilah penyakit politik paling berbahaya bukan kejahilan, tetapi kepura-puraan yang disengajakan.
Mereka tahu harga minyak bergantung kepada pasaran dunia. Mereka tahu subsidi melibatkan berbilion ringgit wang rakyat. Mereka tahu setiap keputusan ada implikasi fiskal.

“Tetapi semua itu ditolak ke tepi. Kerana dalam politik murahan, emosi lebih laku daripada kebenaran,” katanya.

Lebih memalukan, Azhar membidas sikap pembangkang apabila ada yang bercakap seolah-olah rakyat ini tidak berfikir.

“Seolah-olah cukup dengan menjerit dan menyalahkan, maka segala dosa ekonomi akan terpadam. Tiada pelan. Tiada cadangan. Tiada solusi.Hanya bising.

“Jika benar mereka lebih bijak, mana alternatifnya? Jika benar mereka lebih prihatin, mana pelannya? Jika benar mereka lebih layak, mana keberanian untuk bercakap benar walaupun pahit?
Jawapannya sunyi.

“Kerana bercakap benar tidak memberi undi. Tetapi berpura-pura marah itu lebih mudah dijual,” katanya.

Lebih menyedihkan, Azhar menambah, politik seperti ini bukan sahaja merendahkan intelektual pemimpin, tetapi juga menghina kebijaksanaan rakyat.

“Rakyat hari ini bukan lagi penonton bisu. Mereka melihat. Mereka menilai.
Dan mereka mula sedar siapa yang benar-benar faham… dan siapa yang sekadar berlakon untuk terus relevan.

“Kalau beginilah tahap perbahasan politik, jangan hairan kalau akhirnya bukan harga minyak sahaja yang naik tetapi tahap kemuakan rakyat pun ikut melambung.

“Kebanyakan negara dunia hari ini hadapi isu sama, minyak mendadak naik, ini adalah masalah global akibat peperangan yang melanda di Asia Barat. Kita faham tapi malangnya pembangkang buat-buat tak paham.

“Alhamdulillah, harga petrol di Malaysia masih bersubsidi dan paling murah di dunia iaitu RM1.99 seliter. Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang saya percaya berusaha untuk mengurangkan sedaya mungkin beban yang ditanggung oleh rakyat. Terima kasih PMX!,” katanya