Dangkal, mengelirukan, Anwar bidas dakwaan ulama isu harga minyak

Dangkal, mengelirukan, Anwar bidas dakwaan ulama isu harga minyak

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas dakwaan ulama yang mendakwa kenaikan harga minyak hanya berlaku di Malaysia.

Beliau menyifatkan pandangan berkenaan sebagai dangkal selain mengelirukan rakyat.

“Ada ulama terkenal yang mempunyai ramai pengikut, memberi pandangan dengan mengatakan tidak betul, minyak tidak naik, hanya di Malaysia saja naik.

“Itu fahaman kedangkalan ilmu yang ketara, tetapi diselubungi fahaman agama menyebabkan orang agak percaya. Ia tidak membantu malah mengelirukan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan, hari ini.

Sebelum ini Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempersoalkan kenaikan harga diesel di Semenanjung yang menurutnya tidak dikenakan di Sabah dan Sarawak, sambil mendakwa langkah itu tidak mempunyai asas yang kukuh.

Dalam tulisan ‘Minda Presiden PAS’, katanya, alasan mengaitkan kenaikan harga bahan api dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk isu sekatan Iran di Selat Hormuz, tidak sepatutnya dijadikan justifikasi kepada rakyat di Semenanjung.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, kenaikan harga minyak berlaku ekoran kos insurans yang melebihi 100 peratus untuk membawa bahan api itu ke negara ini.

“Kos minyak lama sebelum perang tersangkut di Selat Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang (Johor),” katanya.

Kementerian Kewangan (MOF) semalam mengumumkan harga diesel di Semenanjung naik 70 sen manakala petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi naik 40 sen di seluruh negara mulai hari ini.