Kerajaan akan kumpul data belia tidak bekerja, tidak belajar, tidak sertai kursus latihan- Zahid

Kerajaan akan kumpul data belia tidak bekerja, tidak belajar, tidak sertai kursus latihan- Zahid

KERAJAAN bakal melaksanakan pengumpulan data secara besar-besaran bagi mengenal pasti profil belia yang tidak bekerja, tidak belajar, dan tidak mengikuti latihan kemahiran, atau lebih dikenali sebagai golongan NEET.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, langkah ini kritikal bagi membolehkan kerajaan melaksanakan intervensi yang tepat dan bersasar kepada kumpulan yang berada di luar sistem pendidikan serta pasaran kerja itu.

Menurut beliau, inisiatif yang diterajui oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) ini bertujuan memastikan tiada golongan muda yang tercicir daripada arus pembangunan negara.

β€œIa bagi membincangkan dasar pembangunan belia secara inklusif, bersepadu dan berimpak tinggi, selaras komitmen kerajaan dalam memperkasa generasi muda sebagai pemacu transformasi masa hadapan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) Ke-7 yang turut dihadiri wakil pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

Zahid turut menekankan bahawa tumpuan kerajaan bukan sekadar pada aspek ekonomi, malah merangkumi penglibatan belia dalam sistem demokrasi negara menerusi program KOM.

Jelajah program ini akan diperluas bagi memastikan suara anak muda diangkat sebagai agen perubahan masyarakat yang berintegriti.

Kerajaan komited memastikan agenda pembangunan ini bersifat menyeluruh demi melahirkan generasi yang bukan sahaja berdaya tahan, malah mampu menyumbang secara signifikan kepada kemajuan negara di masa hadapan.